Qarun adalah seorang dari umat Nabi Musa AS dan mempunyai pertalian kekeluargaan dengan baginda. Ia dikurniakan oleh ALLAH
SWT kelapangan rezeki dan kekayaan harta benda yang tidak ternilai
banyaknya. Dia hidup mewah, selalu beruntung dalam usahanya mengumpulkan
kekayaan, sehingga harta bendanya bertimbun-timbun sehinggakan para
pembawa kunci hartanya tidak berdaya membawa atau memikul kunci-kunci
peti khazanahnya kerana terlalu banyak dan berat.
Qarun hidup mewah
dan menonjol di dalam masyarakatnya. Segala-gala tentangnya adalah luar
biasa dan lain dari yang lain. Mahligai-mahligai tempat tinggalnya,
pakaiannya sehari-hari, pelayan-pelayannya serta hamba-hamba sahayanya
melebihi keperluannya. Namun begitu, dia masih merasa belum puas dengan
kekayaan yang dimilikinya dan sentiasa berusaha untuk menambahkan
hartanya, sifat manusia yang haloba yang tidak pernah puas dengan apa
yang sudah dicapai. Jika ia sudah memiliki segantang emas ia ingin
memperolehi segantang yang kedua dan demikianlah seterusnya.
Sebagaimana halnya
dengan kebanyakan orang-orang kaya yang telah dimabukkan oleh harta
bendanya, Qarun tidak sedikit pun merasa bahawa dia mempunyai kewajiban
terhadap fakir miskin dengan harta kekayaannya itu. Dalam hidupnya, ia
hanya memikirkan kesenangan dan kesejahteraan peribadinya, memikirkan
bagaimana ia dapat menambahkan lagi kekayaannya yang sudah melimpah ruah
itu.
Qarun telah
dinasihatkan oleh pemimpin-pemimpin kaumnya agar menyumbangkan
sebahagian daripada kekayaannya bagi menolong fakir miskin dan
orang-orang yang tidak berpakaian dan kelaparan. Beliau telah
diperingatkan bahawa kekayaan yang diperolehi itu adalah kurniaan dari
Tuhan semata-mata yang wajib disyukuri dengan melakukan amal kebajikan
terhadap sesama manusia dan meringankan penderitaan fakir miskin dan
orang-orang yang ditimpa musibah.
Diperingatkan kepadanya bahawa ALLAH SWT
yang telah memberinya rezeki yang banyak itu, dapat pula menarik semula
nikmat kesenangan apabila kewajipannya terhadap masyarakat diabaikan.
Nasihat yang baik
dan peringatan yang jujur oleh pemimpin-pemimpin kaumnya itu tidak
diendahkan oleh Qarun, malah tidak mendapat tempat di dalam hatinya.
Bahkan ia merasa bahawa kekayaannya menjadikannya pemberi nasihat dan
bukan penerima nasihat. Orang ramai harus tunduk kepadanya, mematuhi
perintahnya, mengiakan kata-katanya serta membenarkan segala tindak
tanduknya.
Qarun menyombongkan
diri dengan mengatakan kepada orang-orang yang memberikan nasihat
bahawa kekayaan yang beliau miliki adalah semata-mata hasil jerih
payahnya dan hasil kecekapan dan kepandaiannya berusaha dan bukan
merupakan kurniaan atau pemberian dari sesiapapun. Oleh itu, ia bebas
menggunakan harta kekayaannya sekehendaknya dan tidak merasa terikat
oleh kewajipan sosial untuk membantu golongan yang memerlukan. Sebagai
tentangan bagi para orang yang menasihatinya, Qarun makin meningkatkan
cara hidup mewahnya dan sengaja menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan
berlebih-lebihan.
Apabila ia keluar,
ia mengenakan pakaian dan perhiasan yang bergemerlapan, membawa pembantu
yang ramai dari kebiasaannya dan menunggang kuda-kuda yang dihiasi
dengan indah. Kemewahan yang ditonjolkan itu, menjadikan ramai orang iri
hati terhadapnya terutama mereka yang masih lemah imannya. Mereka
berbisik-bisik di antara sesama mereka, mengeluh dengan berkata:
“Mengapa kami tidak diberi rezeki dan kenikmatan seperti yang telah diberikan kepada Qarun?
Alangkah mujurnya
nasib Qarun dan alangkah bahagianya dia dalam hidupnya di dunia ini! Dan
mengapa Tuhan melimpahkan kekayaan yang besar itu kepada Qarun yang
tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang melarat dan
sengsara, orang-orang yang fakir dan miskin yang memerlukan pertolongan
berupa pakaian mahupun makanan. Di manakah letak keadilan ALLAH yang
Maha Pemurah lagi Maha Pengasih itu?” Qarun yang tidak mempedulikan
nasihat agar bersedekah akhirnya didatangi oleh Nabi Musa AS yang
menyampaikan kepadanya bahawa ALLAH SWT telah mewahyukan perintah berzakat bagi tiap-tiap orang yang kaya dan berada.
Diterangkan oleh
Nabi Musa AS kepadanya bahawa di dalam harta kekayaan, ada bahagian yang
telah ditentukan oleh Tuhan sebagai hak fakir miskin yang wajib
diserahkan kepada mereka.
Qarun merasa marah
untuk menerima perintah wajib berzakat itu dan menyatakan keraguan dan
kesangsian terhadap Nabi Musa AS. Ia berkata: “Hai Musa, kami telah
membantumu dan menyokongmu dalam dakwahmu kepada agama barumu. Kami
telah menuruti segala perintahmu dan mendengarkan segala kata-katamu.
Sikap kami yang lunak itu terhadap dirimu telah memberanikan engkau
bartindak lebih jauh dari apa yang sepatutnya dan mulailah engkau ingin
meraih harta benda kami. Engkau rupanya ingin juga menguasai harta
kekayaan kami setelah kami serahkan kepadamu hati dan fikiran kami
sebulat-bulatnya. Dengan perintah wajib zakatmu ini engkau telah membuka
topengmu dan menunjukkan dustamu dan bahawa engkau hanya seorang
pendusta dan ahli sihir belaka.”
Tuduhan Qarun yang
ingin melepaskan dirinya dari kewajipan berzakat itu ditolak oleh Nabi
Musa AS yang menegaskan bahawa kewajipan berzakat itu mesti dilaksanakan
kerana ia adalah perintah ALLAH yang
wajib ditaati. Qarun tidak dapat mengelakkan diri dari kewajiban zakat
itu setelah berbantah dan berdebat dengan Musa, maka ia menyerah dan
ditentukan berapa besar zakat yang harus dikeluarkan dari harta
kekayaannya.
Setelah tiba di
kediamannya, ia menghitung-hitung bahagian yang harus dizakatkan dari
harta miliknya. Qarun merasa jumlah yang harus dizakatkan terlalu besar
dan merasa sayang untuk mengeluarkan dari khazanahnya sejumlah wang
tanpa memperolehi sesuatu keuntungan dan laba sebagai pulangan. Akhirnya
Qarun mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan zakat walau apapun
yang akan terjadi akibat tindakannya itu. Untuk menguatkan
pemboikotannya terhadap kewajiban mengeluarkan zakat, Qarun menyebarkan
fitnah terhadap Nabi Musa AS dengan mengajak orang ramai agar menentang
perintah mengeluarkan zakat sebagaimana diperintahkan oleh Nabi Musa AS.
Ia menyebarkan
fitnah seolah-olah Nabi Musa AS dengan dakwahnya dan penyiaran agama
barunya bertujuan ingin memperkayakan diri dan bahawa perintah zakatnya
itu adalah merupakan cara perampasan yang halus terhadap milik-milik
para pengikutnya. Lebih jahat lagi untuk menjatuhkan Nabi Musa AS dan
kewibawaannya, Qarun berpakat dengan seorang wanita agar mengaku di
depan umum bahawa ia telah melakukan perbuatan zina dengan Nabi Musa AS.
Akan tetapi ALLAH SWT tidak rela
Rasul-Nya difitnah oleh tuduhan palsu yang diaturkan oleh Qarun itu.
Maka digerakkanlah hati wanita tersebut untuk menyatakan keadaan yang
sebenar dan bahawa apa yang ia tuduhkan kepada Nabi Musa AS adalah
fitnah Qarun semata-mata dan bahawasanya Nabi Musa AS adalah bersih dari
perbuatan yang dituduh itu.
Nyatalah bagi Nabi
Musa AS bahawa Qarun berniat tidak baik dan tidak dapat diharapkan untuk
menjadi pengikut yang soleh yang mematuhi perintah ALLAH terutama
perintah wajib zakat bahkan ia dapat merosakkan akhlak dan iman para
pengikut Musa dengan sikap dan cara hidupnya yang berlebih-lebihan.
Tambahan pula, Qarun sentiasa berusaha untuk merosakkan kewibawaan Nabi
Musa AS dengan melontarkan fitnah serta berbagai hasutan.
Akhirnya, Nabi Musa berdoa kepada ALLAH SWT
agar menurunkan azab ke atas diri Qarun yang sombong dan bongkak itu,
agar menjadi pengajaran bagi kaumnya yang sudah mulai goyah imannya
melihat kenikmatan yang berlimpah-limpah yang telah ALLAH kurniakan kepada Qarun.
Maka dengan izin ALLAH SWT,
maka terjadilah tanah runtuh yang dahsyat di atas mana terletak
bangunan yang mewah tempat tinggal Qarun dan gedung-gedung harta
kekayaannya. Terbenamlah ketika itu juga Qarun hidup-hidup beserta semua
harta kekayaan yang menjadi kebanggaannya.
Peristiwa yang
menimpa Qarun dan harta kekayaannya itu menjadi contoh bagi
pengikut-pengikut Nabi Musa AS serta ubat rohani bagi mereka yang iri
hati dan menginginkan kenikmatan dan kemewahan hidup sebagaimana yang
telah dimiliki oleh Qarun. Mereka berkata seraya bersyukur kepada ALLAH:
“Sekiranya ALLAH telah
melimpahkan rahmat dan kurniaNya, niscaya kami dibenamkan pula seperti
Qarun yang selalu kami inginkan kedudukan duniawinya. Sesungguhnya kami
telah tersesat ketika kami beriri hati dan menginginkan kekayaannya yang
membawa binasa baginya. Aduhai benar-benar tidaklah beruntung
orang-orang yang mengingkari nikmat ALLAH.”
0 komentar:
Posting Komentar